BACHOK – Sebanyak 25 peratus majikan di Kelantan dilaporkan culas untuk mendaftar dan mencarum skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja mereka.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, kajian pihaknya mendapat, majikan-majikan itu tidak memberi fokus untuk mendaftar dan mencarum termasuk warga asing yang diambil sebagai pekerja.
Menurutnya, bagaimanapun, majoriti besar iaitu 75 peratus majikan di Kelantan sudah melunaskan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja mereka.
“Sehubungan itu, majikan yang masih berlengah mendaftar dan mencarum skim Perkeso pekerjanya akan diberi amaran sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Bermula bulan Julai ini, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sama ada dikenakan kompaun atau pendakwaan atas kesalahan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga guru bahasa Arab yang maut dalam kemalangan di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nora memberitahu, pihaknya membuka peluang kepada majikan untuk menunaikan tanggungjawab dengan mencarum Perkeso pekerja dalam tempoh masa yang berbaki kira-kira dua minggu lagi. – KOSMO! ONLINE