PETALING JAYA – Pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau mesra disapa Ustaz Don kembali mengendalikan program Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Menerusi siaran langsung di saluran RTM ketika ini, Ustaz Don hadir dengan berpakaian jubah warna biru gelap dan berserban putih bersama dua lagi pengacara serta seorang tetamu jemputan.
Kehadiran Ustaz Don turut disambut baik penonton program Salam Baitullah yang meninggalkan komen mengalu-alukan beliau kembali ke situ.
“Assalamualaikum ustaz-ustaz. Alhamdulillah Ustaz Don dapat masuk semula,” kata seorang pengguna Facebook.
“Alhamdulillah Ustaz Don, selamat kembali,” komen seorang lagi pengguna.
“Meriah malam ni, Ustaz Don dah hadir,” ujar seorang pengguna yang lain.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM.
Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian orang ramai membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti sebuah stesen radio sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ yang mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.
Susulan itu, satu perjumpaan berlangsung baru-baru ini antara Ustaz Don bersama Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang juga dihadiri wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil. – KOSMO! ONLINE