PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas hampir dua jam di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau memaklumkan satu sidang akhbar akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pada pukul 3 petang.
“Saya tak boleh cakap apa-apa pasal ‘meeting’ (prosiding) ini, jadi saya akan berjumpa dengan wartawan untuk membuat penjelasan berkenaan dengan pemikiran saya yang bukan rahsia.
“Tetapi apa yang berlaku di sini (prosiding) adalah rahsia dan saya tidak akan menyentuh mengenainya,” katanya ketika ditemui media di hadapan bangunan BHEUU di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang menaiki kenderaan berwarna biru gelap itu tiba di BHEUU kira-kira pukul 10.46 pagi dan sempat menyapa pengamal media sebelum memasuki bangunan berkenaan.
Beliau yang turut diiringi peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dilihat keluar dari bangunan berkenaan selepas hampir dua jam memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE