TAPAH – Tiga wanita parah apabila kenderaan pelbagai guna(MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan lori di Kilometer (KM) 329.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya tiba di lokasi 15 minit selepas menerima panggilan pada pukul 4.21 pagi.
“Kemalangan melibatkan MPV Perodua Alza yang dinaiki enam wanita dan lori. Tiga mangsa yang cedera parah kerana tersepit dihantar ke hospital terdekat dengan menggunakan ambulans.
“Sementara itu, tiga wanita lain yang cedera ringan keluar sendiri daripada MPV tersebut sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya hari ini.
Difahamkan, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca sebenar kemalangan tersebut masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE