PETALING JAYA – Pelakon Mira Filzah mengakui masih dalam fasa menjaga ibadah dengan sempurna terutama soal melengkapkan solat lima waktu sehari.
Ujar Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, berkata, sebagai insan biasa dia juga pernah terlambat atau tertinggal solat namun tetap cuba melunaskan kewajipan umat Islam itu sebaik-baiknya.
“Saya pun kadang-kadang terlajak, terlambat, tertinggal, terpaksa qada’ (ganti) dan sebagainya.
“Tapi kita sama-sama perbaikilah. Yang penting usaha, buat juga,” tulisnya dalam hantaran Instagram Story.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkongsi pengalamannya menjaga ibadah selepas menerima pertanyaan daripada seorang pengikutnya berhubung pendekatan yang dilakukannya agar dapat menjaga solat lengkap lima waktu sehari.
Menurut pelakon drama rantaian Lelaki Kiriman Tuhan itu, apabila menjadikan sembahyang sebagai rutin wajib harian, seseorang akan berasa tidak selesa andai rukun Islam kedua itu ditinggalkan begitu sahaja.
“Macam mana ya nak cakap. Bila anda lakukan solat seperti rutin harian, anda akan terbiasa dan rasa pelik atau janggal sekiranya tidak buat.
“Contoh, anda bangun pagi keluar pergi kerja tak gosok gigi, tak boleh kan?” ujarnya.
Sebelum ini personaliti serta keperibadian Mira yang sinonim dengan imej sopan itu sering dipuji babkan menjadi satu tanda aras bagi selebriti berhijab.
Sejak memperlahankan karier seni, ibu kepada seorang cahaya mata itu Mira juga aktif berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu dalam laman sosialnya terutama berkaitan keibubapaan serta isu semasa. – KOSMO! ONLINE