ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung Kampung Tok Senik di Langkawi yang bakal dilelong ekoran mengalami kerugian sebanyak RM250 juta.
Malah menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan projek berkenaan memandangkan ia melibatkan sebuah syarikat swasta.
“Saya pun tidak ada maklumat lagi, projek swasta kot? Projek MOF (Kementerian Kewangan), tidak ada kaitan dengan Lada (Lembaga Pembangunan Langkawi) kerana Lada berkaitan dengan tanah sahaja. Lada tak buat projek, tanah Lada, biasanya projek macam itu swasta buat.
“Saya ada baca depa nak lelong, MOF nak lelong maksudnya kena tanya MOF jangan tanya saya. Kerajaan negeri tidak ada peranan dalam hal itu. Tanah Lada, duit MOF, MOF ada banyak duit,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan kini dalam proses melelong projek Kampung Tok Senik itu selepas resort berkenaan mengalami kerugian RM250 juta. – KOSMO! ONLINE