MEKAH – Pengalaman ditipu dan kehilangan punca pendapatan ketika Covid-19 tidak menjadikan seorang anak jati Banting, Selangor, Sulaiman Ismail patah semangat.
Lelaki berusia 44 tahun itu berkata, perkataan mengalah tidak pernah ada dalam dirinya walaupun tahu cabaran besar perlu ditempuh sejak hari pertama memulakan perniagaan di Arab Saudi.
Pemilik syarikat Ibtisam Catering itu berkata, dia sudah lali dengan cara dan budaya masyarakat di negara ini jika dibandingkan ketika mula-mula datang ke Mekah lebih 15 tahun lalu.
“Saya mula berniaga katering di Mekah pada 2011. Pada masa itu, saya masak makanan untuk jemaah umrah. Memang mencabar sebab saya datang menggunakan visa umrah dengan disertai empat tukang masak lain.
“Jadi apabila menggunakan visa umrah, kami perlu berpatah balik ke Malaysia setiap 29 hari dan ia berlaku selama enam bulan sebelum saya menerima permit penduduk tetap Arab Saudi serta dapat berniaga dengan lebih tenang. Pada masa itu rezeki bertambah hingga berjaya membuka perniagaan di Mekah dan Madinah pada 2012,” katanya.
Namun, perniagaannya tidak bertahan sehingga memaksanya menutup operasi di Madinah selepas dua tahun berniaga di sana.
“Selepas tutup di Madinah, saya beri tumpuan perniagaan di Mekah sahaja sehinggalah ketika penularan Covid-19. Saya sekali lagi ditimpa masalah sehingga menyebabkan perniagaan ditutup selama dua tahun,” jelasnya.
Dia akhirnya berjaya bangkit semula sehingga kini dengan mempunyai hampir 50 pekerja selain mampu membekalkan makanan bermasak untuk 5,000 jemaah di bawah kendalian 19 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) untuk musim 1445H/2024M.
Tambahnya, peluang untuk berniaga di Arab Saudi sememangnya luas dan terbuka termasuk kepada rakyat Malaysia.