ROM – Sekumpulan penjenayah melarikan pelbagai jenis barangan kemas bernilai €500,000 (RM2.5 juta) dalam satu rompakan di sebuah butik berjenama mewah di Rom, Itali lapor akhbar Metro UK semalam.
Gedung Bulgari di Via Condotti menjadi sasaran pada Sabtu lalu dalam rompakan ala filem Hollywood yang menyaksikan tiga hingga lima penjenayah menggerudi ruang bawah tanah butik itu.
Antara barangan yang dilarikan termasuk jam tangan dan pelbagai barangan kemas sekali gus mencetuskan penggera amaran.
Pihak polis tiba tidak lama kemudian, namun mereka mengambil masa hampir 5 minit sebelum berjaya memecahkan pintu yang dihadang oleh penjenayah.
Kumpulan perompak tersebut melarikan diri melalui saluran pembetung yang telah lama wujud dan masih digunakan hingga ke hari ini.
“Laluan tersebut tidak dipetakan sepenuhnya, justeru sukar untuk polis mengetahui ke mana perompak-perompak itu pergi,” kata ketua kumpulan peneroka terowong bawah tanah Sotteranei, Marco Placidi.
Polis mengesyaki kumpulan tersebut mempunyai kaitan dengan geng penjenayah sebelum ini yang menggali terowong untuk memecah masuk ke dalam beberapa institusi seperti bank di seluruh Rom. – AGENSI