PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menghidap penyakit usus kronik di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi di hospital berkenaan semalam.
“Saudara Farhan juga semalam telah menziarahi adik Thevsin Ramesh yang menghidap penyakit usus kronik di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
“Saya sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai keadaan adik Thevsin yang diuji dengan dugaan yang cukup berat di usia muda iaitu 12 tahun dan saya juga difahamkan beliau sudah dua tahun menerima rawatan di hospital ini.
“Saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga adik Thevsin bagi membantu meringankan beban keperitan yang ditanggung saat ini.
Mendoakan adik Thevsin diberi kesembuhan sesegera mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Farhan turut mengadakan ziarah terhadap penyampai berita Astro Arena, Akbar Sahari dan isterinya.
Difahamkan isteri Akbar, Noorsuzilawati Noor menghidap kanser usus tahap 4 dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
“Saudara Farhan turut sampaikan sumbangan bagi pihak saya kepada saudara Akbar untuk mengurangkan beban kos perubatan yang sedang ditanggung,” kata Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE