PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (Plus) akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal sempena perayaan Aidiladha nanti.
Menerusi kenyataan Plus, ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.
“Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane ini melalui pemasangan Lampu Hijau Berkelip
(Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan
di lokasi-lokasi yang tertentu.
“Selain itu, Plus turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan Smart Lane di lokasi-lokasi Smart Lane yang terlibat. Ia boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang,” katanya hari ini.
Laluan Smart Lan membolehkan pengguna untuk memasuki Lorong Kecemasan sementara waktu sebelum diarahkan masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan,” katanya.
Dalam pada itu, Plus juga memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh rayanya bermula hari ini hingga 19 Jun bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik.
Untuk mengagihkan trafik, Plus turut menyediakan jadual perjalanan digital iaitu MyPLUS-TTA menerusi aplikasi Plus yang boleh dimuat turun oleh pengguna lebuh raya.
Pengguna boleh mendaftarkan perjalanan mereka untuk memilih waktu perjalanan paling optimum sempena perayaan Aidiladha di antara 13 hingga 18 Jun. – KOSMO! ONLINE