KOTA BHARU – Pesawah di enam jajahan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengalami kerugian RM58 juta akibat kemarau yang melanda negara sejak Mac lalu.
Pengerusi Kada, Muhammad Hussain berkata, Jawatankuasa Penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat Kada telah melaporkan hampir 8,900 hektar sawah padi mengalami kemusnahan akibat musibah tersebut.
Menurutnya, daripada jumlah keluasan itu, jumlah kerugian RM58 juta perlu ditanggung oleh para pesawah di bawah enam jajahan Kada.
“Saya dan seluruh warga kerja Kada memandang serius akan perkara ini. Sehubungan itu, Kada telah membentangkan satu laporan dan cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat
Persekutuan.
“Kada akan terus komited dan berusaha untuk mencari solusi yang terbaik untuk membantu para pesawah menghadapi kerugian yang ditanggung. Semoga bantuan yang dimohon mendapat kelulusan dari pihak kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad memberitahu, pihaknya berharap dan mengalu-alukan sebarang usaha dan bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, bantuan itu sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung oleh petani dan pesawah akibat krisis kemarau yang melanda.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan dana sebanyak RM1.8 juta melalui peruntukan pembangunan negeri di bawah Program Pembangunan Industri Padi bagi membantu pesawah terjejas akibat kemarau.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan itu dikhaskan untuk kawasan padi luar jelapang dengan pembinaan parit-parit ladang dan menyalurkan pam air untuk keperluan pesawah.
Menurutnya, petani di luar jelapang juga akan dipastikan supaya dapat memulakan kerja-kerja penyediaan tanah dan penanaman dengan lebih awal. – KOSMO! ONLINE