fbpx

Penyasaran subsidi diesel keperluan tetapi perlu cermat dilaksana – Ahmad Samsuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan bermula Isnin lalu merupakan keperluan tetapi perlu dilaksanakan secara cermat.

Beliau mengingatkan kerajaan Persekutuan lebih berhemah dalam pelaksanaan rasionalisasi berkenaan bagi mengurangkan impak berantai yang akan membebankan rakyat.

“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan kerana telah berlaku kebocoran (sebelum ini) kerana tanpa disedari, kita telah membiayai syarikat-syarikat yang tidak kena mengena dengan kita dan orang-orang luar.

“Begitupun keutamaan sekarang perlu diberi bagi mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kaedah pelaksanaan penyelarasan subsidi minyak perlu diteliti kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan kesan berangkai terhadap rakyat yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Naib Presiden Pas itu berkata, kesan berangkai akibat kenaikan mendadak diesel sudah mula dirasai dengan beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan sudah mula mengumumkan kenaikan harga.

“Ini adalah satu cabaran yang sangat besar kepada sesebuah kerajaan Pusat untuk menanganinya.

“Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan. Saya ucap good luck (selamat berjaya) kepada pentadbiran (kerajaan Persekutuan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI