PETALING JAYA – Sebanyak 96 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan setakat 10 Jun lalu, berbanding 93 kes pada 3 Jun dengan 22 kes daripadanya ialah strok haba.
Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan kes penyakit berkaitan cuaca panas itu turut melibatkan 68 kes kelesuan haba dan enam kes kejang haba.
“Kematian akibat strok haba meningkat kepada empat kes dengan kematian terbaru melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun di Ulu Kinta, Perak pada 4 Jun lalu, manakala kes tertinggi direkodkan adalah di Kedah iaitu sebanyak 18 kes,” katanya.
Selain itu, terdapat satu empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpangan semasa air mentah pada paras bahaya iaitu Empangan Muda di Kedah (28.32 peratus).
“Enam lagi empangan menunjukkan peratusan baki stok simpanan semasa air mentah pada paras amaran iaitu Empangan Malut, Kedah (30.00 peratus), Empangan Sembrong Barat, Johor (44.88) peratus) dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (45.30 peratus).
“Empangan Timah Tasoh, Perlis (47.15), Empangan Bukit Merah, Perak (48.60) dan Empangan Pedu, Kedah (58.27 peratus), turut menunjukkan peratusan baki stok simpanan air pada paras amaran,” kata Nadma.
Untuk rujukan, baki storan 29.99 peratus dan ke bawah menunjukkan tahap bahaya, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).
Sementara itu, sepanjang tempoh 13 hingga 16 Jun, bahagian utara Semenanjung dan persisir pantai Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan lebat pada waktu awal pagi, berpunca daripada pengaruh angin baratan yang berpotensi untuk membentuk garis badai.- KOSMO! ONLINE