JAKARTA – Seorang pelancong dari India mengamuk selepas ditegur kerana berkelakuan tidak sopan di sebuah pantai di Nusa Penida, Pulau Bali, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @heraloebss, sekumpulan pelancong dilihat sedang menunggu giliran untuk merakam gambar di salah satu kawasan tarikan utama itu.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dipercayai ahli rombongan berkenaan dengan selamba memotong barisan dan memanjat ke atas sebatang pokok.
Perbuatan yang tidak sopan itu menyebabkan dia ditegur oleh pemandu pelancong yang lain. Malah, dia juga diminta untuk turun dari pokok itu dan kembali beratur.
Disebabkan itu, pelancong tersebut mengamuk dan memaki hamun pemandu berkenaan menggunakan kata-kata kesat.
Lebih mengejutkan adalah apabila dia turut melakukan kekerasan terhadap pemandu berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan pada pengunjung lain.
Tindakan pelancong itu menimbulkan kemarahan ramai netizen. – AGENSI