JAKARTA – Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Jakarta Barat diturunkan pangkat dan dipotong gaji susulan penyebaran video yang memaparkan dia meminta ‘duit rokok’ daripada seorang pemandu pikap di Daan Mogot, lapor laman berita Detik.
Keputusan tersebut dibuat oleh Pemangku Badan Pengangkutan Jakarta, Syaripudin menerusi kenyataan rasminya.
Pegawai berkenaan, Slamet Riyadi dihukum turun pangkat serta dipotong gaji.
“Hukuman tatatertib peringkat ketiga dikenakan dalam bentuk penurunan pangkat ke peringkat yang lebih rendah selama setahun,” kata Syaripudin dalam keterangan rasminya.
Beliau turut mengesahkan bahawa pendapatan tambahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jakarta itu turut dipotong sebanyak 30 peratus.
Sebelum ini, sebuah video tular memaparkan pegawai berkenaan meminta ‘duit rokok’ sebanyak 50,000 rupiah (RM 14.47) daripada seorang pemandu yang disaman. – AGENSI