KUALA PILAH – Tular di media sosial sejak semalam video berdurasi 49 saat merakamkan kelibat harimau kumbang yang kembali terlihat di Sri Menanti, di sini.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ada yang bimbang apabila haiwan dilindungi berkenaan makin kerap menonjolkan diri di kawasan kampung.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang berpendapatan untuk orang ramai tidak menganggu binatang berkenaan dan membiarkan sahaja masuk semula ke dalam kawasan hutan.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, aduan berkenaan diterima dua hari lalu di lokasi yang sama sebelum ini iaitu di Kampung Padang Biawas.
“Pegawai Unit Konservasi Harimau Negeri Sembilan sudah turun padang melawat lokasi aduan dan mendapati kawasan tersebut merupakan laluan bagi harimau kumbang tersebut.
“Bagaimanapun, tiada haiwan ternakan yang mati dan kita menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati serta berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Faizal lagi, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.
Sehubungan itu, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan di talian aduan konflik hidupan liar Negeri Sembilan di talian 011-65529681 atau talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web http://www.wildlife.gov.my – KOSMO! ONLINE