fbpx

Euro2024: KPDN serbu Jalan Petaling, rampas jersi tiruan bernilai RM450,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ariffin (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan jersi tiruan berjenama pada sidang akhbar yang diadakan di Stor Eksibit Segambut hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyerbu dua buah gerai dan stor penyimpanan jersi tiruan berjenama di ibu negara pada 10 Jun lalu.

Pengarah KPDN WPKL, Ariffin Samsudin berkata, serbuan di Jalan Petaling bersama wakil pemilik cap dagangan hasil itu dibuat hasil risikan selama dua minggu.

Nilai barangan yang dirampas adalah sebanyak RM450,000 yang dibuat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut beliau, stok jersi tiruan yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari negara luar dan dijual di Jalan Petaling kepada peminat sukan bola sepak.

“Permintaan jersi bola sepak pada waktu ini amat menggalakkan disebabkan Kejohanan Piala Eropah (Euro 2024).

“Difahamkan, kesemua jersi tiruan itu dijual pada harga RM140 sehelai kerana mempunyai kualiti tinggi,” katanya pada sidang akhbar Rampasan Barang Tiruan di Stor Eksibit Segambut di sini hari ini.

Dalam serbuan sama, KPDN menyita tiga buah mesin yang digunakan untuk menampal logo, nombor jersi dan nama pilihan oleh pembeli yang bernilai RM15,000.

Menurut beliau, premis itu juga menerima tempahan secara borong daripada peniaga di sekitar Lembah Klang dan menyediakan perkhidmatan pos bagi peniaga yang berada di luar Kuala Lumpur.

Jelasnya, sitaan dilakukan oleh KPDN WPKL secara Rampasan Tanpa Tuan (RTT) kerana peniaga tiada di premis semasa serbuan.

Difahamkan, premis tersebut beroperasi kira-kira setahun di Jalan Petaling dan dimiliki oleh warga tempatan.

“Kami turut menyiasat semua pihak terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

KPDN menasihatkan pengguna agar tidak menyokong pembelian serta penjualan jersi tiruan pada musim Euro 2024.

“Pihak kami memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada. Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat seperti yang ditetapkan undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI