TAIPING – Sebuah kilang memproses muruku di Taman Pengkalan Maju di sini yang menggunakan logo halal tidak sah sejak 2017 dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya mengadakan pemeriksaan di kilang tersebut berhubung penggunaan logo halal tidak sah itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Pemeriksaan dilakukan telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu telah tamat tempoh pada 17 Mei 2017,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, logo halal pada enam jenis produk muruku yang dikeluarkan adalah untuk edaran serta jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita kesemua 1,580 unit produk makanan itu.
Menurut beliau, nilai kesemua unit produk dirampas yang menggunakan logo halal tidak sah berkenaan adalah dianggarkan berjumlah RM8,128.40.
“Kes disiasat di bawah Perintah 8(a),Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal,” katanya.
Kamalludin berkata, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE