fbpx

Kenderaan logistik belum terima fleet card boleh pohon semula bermula 1 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula ini bermula pada 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan boleh dilakukan melalui portal Budi Madani https://budimadani.gov.my dengan pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.

Jelasnya, untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun ini.

“Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

“Oleh itu, kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https:/mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara Kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” ujarnya.

SKDS 1.0 membabitkan kenderaan pengangkutan awam darat iaitu bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas mini, bas pengantara, kereta sewa, teksi, van mayat, ambulans (sukarela) dan bomba (sukarela).

Manakala, SKDS 2.0 pula membabitkan kenderaan pengangkutan barangan darat seperti lori rigid-curtainsider, lori rigid-hasil pertanian, lori rigid-kandang haiwan, lori rigid-kombinasi, lori rigid-open platform, bas katering makanan dan van katering makanan.

Turut tersenarai adalah lori katering makanan, lori tangki rigid-minuman, semi-panel van, bas perkhidmatan bergerak, van perkhidmatan bergerak, lori rigid-perkhidmatan bergerak dan lori rigid-sampah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI