MEKAH – Semua jemaah haji Malaysia termasuk mereka yang kini sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji dan Hospital King AbdulAziz diberi jaminan akan berada di Padang Arafah pada Sabtu ini untuk berwukuf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, semua pesakit berkenaan akan dibantu petugas termasuk menggunakan kenderaan khas dikenali Safari Wukuf.
“Saya dimaklumkan hanya seorang yang masih kritikal di Hospital King AbdulAziz. Untuk pesakit lain di hospital ini, Kerajaan Arab Saudi akan membantu mereka untuk berwukuf nanti menerusi program yang sama.
“Mereka yang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji kita akan uruskan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Berwukuf bermaksud seseorang jemaah itu wajib berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari hari 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
Setakat ini sebanyak 56 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dengan 13 daripadanya di Hospital Arab Saudi, manakala 43 lagi di Pusat Rawatan Tabung Haji Mekah.
Dalam pada itu, Mohd. Naim berkata, persediaan operasi Masyair sudah siap sepenuhnya bagi menyambut 31,600 jemaah haji Malaysia ke bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula esok.
Perkhidmatan sokongan seperti perubatan juga pada tahap yang terbaik dan sudah memulakan operasinya dengan memberikan perkhidmatan kepada jemaah sejak tiba di bumi barakah ini.
“Insya-Allah, dengan berbaki sehari lagi, semua jemaah dan petugas haji akan memulakan pergerakan ke Arafah. Ini merupakan pergerakan terbesar di dunia, dengan hampir dua juta orang menuju ke destinasi yang sama,” katanya.