KOTA BHARU – Saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan pelbagai kes termasuk kes jenayah tidak perlu takut kerana mereka dilihdungi daripada sebarang ancaman mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM), Khairul Anwar Zakaria@Abdul Hamid berkata, ini kerana, saksi merupakan individu penting dalam sesuatu kes untuk memastikan keadilan dalam sistem perundangan.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada sesuatu kes sama ada cepat atau lambat dan kehadiran saksi akan memberi keyakinan untuk mendapatkan keadilan.
“Oleh itu, individu yang menjadi saksi tidak perlu takut dan akan diletak di Rumah Perlindungan Saksi (RPS) bagi mengelak sebarang ancaman.
“Setakat ini kita tidak menghadapi sebarang masalah berkait dengan hal-ehwal saksi dalam sesuatu kes kerana mendapatkan kerjasama semua agensi penguatkuasaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Program Perlindungan Saksi yang dirasmikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun di sebuah hotel, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar memberitahu, pihaknya juga mahu setiap kes yang sedang berjalan dapat diselesaikan dengan cepat.
Katanya, BPJPM akan menangani gejala ugutan dan ancaman kepada saksi penting dalam sesuatu kes jenayah berat terutamanya jenayah terancang, sindiket dan membabitkan kepentingan awam.
“Akta 696 akan memberi perlindungan dan bantuan secara holistik dan munasabah kepada saksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE