KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi petrol RON95 hanya akan dibuat selepas penyasaran subsidi untuk diesel menjadi stabil.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah rasionalisasi subsidi itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi di bawah rangka kerja Ekonomi Madani dan ia penting untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan.
“Ini kerana kita mahu dapatkan pulangan fiskal lebih elok agar boleh melabur balik pada benda-benda yang penting bagi membina negara.
“Kita faham kena buat rasionalisasi subsidi, kita bermula dengan diesel buat masa sekarang dan dari segi kerajaan kita fokus kepada rasionalisasi subsidi diesel, bila sudah stabil kita tengok apa yang kita boleh buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 di sini.
Amir Hamzah menjelaskan, usaha kerajaan kini tertumpu kepada langkah meningkatkan kefahaman rakyat mengenai sebab rasionalisasi subsidi diesel dijalankan, sambil menggalakkan mereka yang layak untuk memohon bantuan Budi Madani.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, langkah penyasaran subsidi diesel dilihat telah mula membuahkan hasil, apabila jumlah diesel di stesen-stesen minyak di sempadan negara dilihat telah berkurangan.
“Kita masih mengumpul data, namun setelah bercakap dengan syarikat-syarikat minyak, jumlah yang ada di stesen sempadan turun jadi kita nampak inisiatif ini mengurang ketirisan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE