PETALING JAYA – Kehadiran fibroid, sejenis ketumbuhan bukan kanser dalam rahim boleh menyebabkan masalah haid berpanjangan dalam kalangan wanita.
Menurut hantaran Dr Nurul A’in Sa’ari atau Dr. Aen di aplikasi X, wanita yang mempunyai fibroid selalunya akan mengalami senggugut yang teruk dan pendarahan yang lebih berat sewaktu datang haid.
“Selain itu, mereka ini juga akan merasakan perut mereka lebih besar daripada biasa, terutamanya di bahagian ari-ari,” ulasnya.
Jelas beliau, kajian menunjukkan, fibroid boleh terbentuk disebabkan ketidakseimbangan hormon dan juga atas faktor pemakanan.
Malah, kehadiran fibroid dalam rahim juga boleh menjadi punca seseorang wanita sukar untuk mendapatkan cahaya mata.
“Stuktur fibroid dalam rahim ini boleh berubah-ubah. Jadi, apabila berlakunya persenyawaan, sukar untuk ovum melekat pada dinding rahim kerana wujudnya fibroid ini.
“Tetapi jangan risau, ada pesakit yang boleh hamil walaupun mereka mempunyai fibroid,” katanya.
Mengulas mengenai perbezaan antara fibroid dan sista (cyst), Dr. Aen berkata, sista selalunya dikesan di bahagian ovari manakala fibroid pula adalah ketumbuhan di kawasan rahim.
“Dalam fibroid ada tisu manakala dalam sista pula ada air,” katanya.
Menurut Dr. Aen, rawatan untuk sista dan fibroid adalah lebih kurang sama.
“Pertama sekali, doktor akan lakukan pemantauan terlebih dahulu.
“Jika ia terlalu besar dan boleh menimbulkan komplikasi, barulah doktor akan ambil keputusan untuk buang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE