IPOH – Kerajaan Perak melantik Exco negeri sebagai pemimpin ‘angkat’ untuk membantu pengurusan dan persediaan kontinjen Perak bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI di Kuching, Sarawak pada Ogos depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rasional pelantikan itu adalah bertujuan untuk pemantauan sebelum dan semasa kejohanan berlangsung.
Tambahnya, selain Exco, beberapa ketua-ketua jabatan dan agensi negeri turut dilantik untuk memainkan peranan yang sama, serta dipecahkan mengikut jenis sukan.
“Ini dianggap sebagai perjuangan negeri. Kita kena buktikan bukan sahaja peserta sukan bertungkus-lumus untuk menjulang nama negeri. Ia mesti datang daripada kerajaan negeri dan pemimpin agensi kerajaan.
“Kita hendak atlet kita berasa mereka dihargai. Mereka ada penyokong kuat di belakang iaitu wakil kerajaan negeri sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut di sini hari ini.
Perak telah mengumumkan sasaran kedudukan lima terbaik pada temasya tersebut yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.- KOSMO! ONLINE