LONDON – Penyerang England, Harry Kane yakin The Three Lions sudah cukup matang untuk menghadirkan kejayaan pada penampilan di Euro 2024 kali ini.
Walaupun lebih separuh daripada senarai yang dipilih Gareth Southgate kali ini belum pernah bermain dalam kejohanan besar bersama England, tetapi Kane tetap merasakan pemain terpilih tetap memiliki pengalaman luar di peringkat antarabangsa.
“Saya merasakan dari segi pengalaman kami lebih daripada cukup kerana turut dibarisi ramai pemain yang pernah beraksi dalam dua atau tiga kejohanan sebelum ini. Sudah pasti akan ada pemain baharu yang sememangnya berhak untuk berada dalam pasukan.
“Pengurus terpaksa membuat keputusan yang sukar, namun semua orang sebenarnya berhak untuk berada di sini. Setiap orang akan menghadirkan kelainan buat pasukan dan untuk meraih kejayaan kami memerlukan kesemua 26 pemain,” katanya.
Daripada senarai yang terpilih, England tidak dapat menyenaraikan beberapa pemain penting yang pernah membarisi pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk tonggak pertahanan, Harry Maguire, Jack Grealish, Marcus Rashford dan James Madison
Pemilihan kali ini juga menyaksikan Southgate lebih menjurus kepada prestasi semasa apabila menyenaraikan beberapa muka baharu antaranya Kobbie Mainoo, Adam Wharton dan Anthony Gordon.
The Three Lions yang diundi dalam Kumpulan C dilabel sebagai salah satu pencabar kejuaraan kali ini dan akan memulakan kempen menentang Serbia (17 Jun) diikuti Denmark (21 Jun) sebelum menamatkan saingan bertemu Slovenia pada 26 Jun ini. – AGENSI