PETALING JAYA – Nasib ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan diketahui esok sama ada didakwa atau dibebaskan.
Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan berkata reman terhadap pasangan suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman selama 13 hari berakhir esok.
“Esok adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Esok adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC). Mereka (AGC) akan akses dan teliti serta lihat ada keputusan esok sama ada lepas dengan jaminan polis atau dituduh.
“Semua kena bersabar dan kita tunggu esok. Penekanan kami seperti rakyat Malaysia ingin nasib arwah (Zayn Rayyan) dibela dan diberi keadilan,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebelum ini pasangan itu ditahan dan direman di Mahkamah Petaling Jaya bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Kedua-dua pasangan berusia 29 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. -KOSMO! ONLINE