MANCHESTER – Manchester United mengesahkan bahawa pengurus mereka, Erik Ten Hag kekal sebagai pengendali pasukan itu untuk musim depan biarpun mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di kedudukan terburuk dalam sejarah.
Keputusan tersebut dibuat selepas ahli lembaga pengarah kelab berkenaan berpuas hati dengan kejayaan Ten Hag memacu United untuk meraih kejuaraan pada aksi Piala FA menewaskan Manchester City.
Kontrak pengendali dari Belanda itu akan berakhir Jun 2025 dan kelab memiliki pilihan untuk melanjutkan perjanjian tersebut untuk tempoh 12 bulan lagi.
Bekas jurulatih Ajax Amsterdam itu berada dalam tekanan musim lalu apabila United mempamerkan aksi terburuk sejak musim 1962/63 selepas mengalami lapan kekalahan dalam 15 perlawanan awal musim bagi semua kejohanan.
Mereka juga mencatat 14 kekalahan dalam 38 aksi EPL selain tersingkir di peringkat kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara menyebabkan Ten Hag menjadi subjek spekulasi pemecatan dengan beberapa nama calon pengurus baharu mula disebut-sebut. – KOSMO! ONLINE