BATU PAHAT – Empat maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler rosak di Kilometer 123.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan malam tadi.
Kejadian pada pukul 8.23 malam itu melibatkan kereta jenis BMW yang dipandu pemuda tempatan berusia 26 tahun bersama tiga wanita warga Vietnam berusia 19 hingga 32 tahun dengan treler dipandu lelaki berusia 47 tahun.
Siasatan awal mendapati kejadian bermula daripada masalah kerosakan enjin pada treler yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
“Keadaan menyebabkan pemandu treler terpaksa menghentikan kenderaannya di tengah jalan.
“Ketika pemandu lori sedang menunggu bantuan daripada Pasukan Plus Ronda, kereta BMW yang dipandu mangsa dari arah sama secara tiba-tiba merempuh belakang treler berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar, ekoran rempuhan itu, pemandu kereta BMW dan dua penumpang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Seorang lagi penumpang kereta BMW maut ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala pemandu treler tidak cedera. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE