KUCHING – Empat kematian akibat rabies direkodkan di Sarawak pada tahun ini dengan satu kes kematian terbaharu dilaporkan pada 5 Jun lalu di Hospital Umum Sarawak.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Veronica Lugah berkata, daripada empat kes itu, satu kes mendapat jangkitan melalui gigitan anjing liar, manakala tiga kes lagi mendapat jangkitan melalui haiwan peliharaan sendiri.
“Tiga kes adalah terdedah kepada haiwan peliharaan sendiri dengan kesemua mereka memelihara kucing, manakala satu kes lagi membela anjing di rumah.
“Dua kes turut melibatkan mengutip kucing liar yang tidak diketahui status kesihatan untuk dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr. Veronica memberitahu, kesemua haiwan peliharaan itu tidak menerima vaksinasi antirabies dan bebas bercampur dengan haiwan liar.
“Kesemua kes juga tidak mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar haiwan,” katanya.
Dengan pertambahan kes itu, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 79 kes dengan 72 kematian. – KOSMO! ONLINE