LONDON – Bilionair sensasi, Elon Musk melahirkan rasa ‘tidak gembira’ dengan kerjasama terbaharu yang dimeterai antara syarikat teknologi, Apple dan pencipta ChatGPT, OpenAI, lapor saluran berita CNN.
Menerusi catatan di platform X kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla tersebut berkata, beliau mungkin akan mengharamkan penggunaan peranti Apple di syarikatnya.
Ia turut merangkumi SpaceX dan X jika Apple meneruskan rancangan kerjasama yang diumumkan pada kelmarin.
Musk berkata, jika Apple mengintegrasikan OpenAI pada sistem pengendalian, ia akan menjadi pelanggaran keselamatan yang tidak boleh diterima.
“Apple tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku sebaik sahaja mereka menyerahkan data anda kepada OpenAI,” Kata Musk dalam catatan berasingan di X.
Reaksi Musk dikeluarkan beberapa jam selepas Apple bekerjasama dengan OpenAI pada Persidangan Pembangunan Sedunia. Ia merupakan sebahagian usaha yang lebih meluas untuk membawa alat kepintaran buatan (AI) generatif kepada produk Apple.
Di bawah sistem kepintaran Apple baharu itu, AI akan digunakan untuk menghasilkan pembantu suara Siri yang lebih pintar dan menyampaikan ciri yang lebih peribadi kepada pengguna. – AGENSI