fbpx

Elfira Loy macam mimpi dapat tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELFIRA LOY

PETALING JAYA – Seumpama masih dalam mimpi, pelakon Elfira Loy yang sudah pun tiba di Jeddah, Arab Saudi mengakui perasaannya kini bercampur-campur, antara teruja, gembira dan hiba kerana terpilih menjadi tetamu Allah musim haji 2024 walaupun mendapat panggilan saat akhir.

Kata Elfira atau nama lengkapnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, perjalanannya untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu tetap berjalan lancar dan dimudahkan Tuhan. Dia kini tidak sabar untuk tiba di Tanah Suci,

“Perjalanan sangat lancar dan cuaca juga menyenangkan. Saya memang sangat teruja nak sampai ke Tanah Suci.

“Namun sedih, tak percaya Allah jemput,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.

Elfira yang mendapat panggilan haji kurang dua minggu dari tarikh berlepas ke Tanah Suci mengakui membuat persediaan dalam tempoh singkat.

Beberapa perkara termasuk ketika urusan ketibaan di Arab Saudi juga harus dilakukan sendiri memandangkan jemputan diberi pada saat akhir.

Namun, baginya semua itu tidak menjadi masalah bahkan segala perkara berjalan tanpa sebarang kekangan.

“Disebabkan ini jemputan saat akhir daripada Saudi Arabia, jadi semua kena urus sendiri. Visa dan ‘check in’ akan minta kita tunjuk sendiri.

“Tetapi semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

Menerusi hantaran sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak ketinggalan membuka peluang kepada orang ramai menitipkan doa.

Bagi tujuan tersebut, Elfira membuka ruang dalam laman sosialnya untuk sesiapa mengirimkan doa mereka dibacakan di Tanah Suci nanti.

“Insya-Allah akan berangkat ke sana (Mekah) bila tiba musim haji nanti. Boleh sahaja titipkan doa kat sini, nanti insya-Allah saya akan kumpulkan.

“Banyak sangat nak cerita perjalanan haji ini tapi nantilah saya cerita okey,” katanya.

Menerusi ruangan komen, ramai pengikut dan rakan seperjuangan mendoakan pelakon Cinta Tanpa Syarat itu beroleh haji yang mabrur.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan haji yang mabrur,” ujar pengikutnya.

Terdahulu, Elfira bersama beberapa selebriti lain termasuk pelawak yang juga penyampai Hot FM, Johan  mendapat jemputan khas Kementerian Media Arab Saudi menunaikan haji musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI