LONDON – Ducati memberi jaminan bahawa Jorge Martin akan mendapat segala keperluan untuk membantunya menjuarai gelaran dunia MotoGP 2024 walaupun membuat keputusan menyertai pasukan Aprilia pada musim depan.
Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi mengesahkan perkara itu dan menjelaskan Martin tidak akan dipinggirkan biarpun tidak bersama mereka lagi selepas ini.
Ketika ini, Martin yang bersaing bersama pasukan Pramac Ducati sedang mendahului carta kedudukan dengan kelebihan 18 mata meninggalkan seteru utamanya, Francesco Bagnaia.
“(Pengarah Urusan Ducati) Gigi (Dall’Igna) berkata dengan jelas dan saya menekankannya sekali lagi bahawa Martin akan mempunyai segala-galanya yang dia perlukan untuk menang seperti yang berlaku sehingga sekarang.
“Dia akan mempunyai segala-galanya untuk memperjuangkan gelaran. Musim masih panjang dan banyak perkara mungkin berlaku. Martin mendahului, manakala Pecco (Bagnaia) telah menunjukkan betapa kuatnya dia. Kami berharap dia dapat mengesahkan gelaran dunia buat kali ketiga,” tegas Tardozzi.
Martin sebelum ini disebut-sebut untuk menyertai pasukan utama Ducati dan bergandingan bersama Bagnaia, tetapi segalanya berubah apabila pelumba Sepanyol itu mengikat kontrak dua tahun bersama Aprilia dan menyebabkan Ducati terpaksa memilih Marc Marquez.
“Kami benar-benar kecewa kerana kehilangan Martin dan Enea Bastianini. Kami percaya mereka berdua adalah pelumba yang terkuat dalam grid perlumbaan.
“Tetapi dia (Bastianini) tidak bernasib baik tahun lalu selepas berdepan insiden kemalangan dan tidak dapat pulih sepenuhnya sehingga penghujung musim lalu. Kami ingin mengekalkannya, tetapi akhirnya kami terpaksa membuat pilihan untuk membawa masuk Marquez,” ujarnya. – AGENSI