JOHOR BAHRU – Dua lelaki Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah MDMA dengan anggaran berat kasar 58.6 kilogram (kg) di Iskandar Puteri, bulan lalu.
Tertuduh, Ee Choong Kiat, 36, dan Τan Xiao Wei, 49, hanya mengangguk faham pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh dua lelaki warga asing itu.
Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki warga Singapura itu secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis MDMA anggaran berat kasar 58.6 kg.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 10.30 malam di Jalan Anjung 8/1, Taman Horizon Hills, Iskandar Puteri, pada 29 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 398 (2) akta yang sama dan dibicara bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan
Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disertakan dengan sebatan sehingga 15 kali, jika sabit kesalahan.
Xiao Wei turut dihadapkan empat pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis MDMA dan methamphetamine dengan anggaran seberat 13.1 kg.
Lelaki berusia 49 tahun itu turut dihadapkan dengan dua pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan nimetazepam dengan anggaran berat 680 gram (g).
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.35 petang di Residensi Permai, Menara A, Jalan Mutiara 7, Taman Perindustrian Plentong, di sini pada 29 Mei lalu.
Sementara itu, Choong Kiat pula dihadapkan dengan dua pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 74g dan memiliki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 26.4g.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pada pukul 3.40 petang di Pangsapuri Molek, Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek, di sini pada hari yang sama.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B akta yang sama yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati dan tidak kurang daripada 15 kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) akta yang sama yang memerlukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia.-KOSMO! ONLINE