PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di sini untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Beliau yang menaiki kenderaan berwarna biru gelap itu tiba kira-kira pukul 10.46 pagi dan terus memasuki bangunan berkenaan.
Sejak awal pagi tadi beberapa pengamal media sudah pun dilihat menunggu di luar BHEUU bagi mengetahui perkembangan mengenai prosiding itu.
Pada masa sama, kawasan sekitar BHEUU turut dikawal ketat anggota polis, selain pengamal media tidak dibenarkan untuk berada di dalam bangunan berkenaan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Dr. Mahathir untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.
Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Dr Mahathir perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan, Dr. Mahathir mengesahkan beliau di sapina untuk memberi keterangan kepada RCI berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat peguamnya, Dr. Mahathir berkata, beliau perlu hadir pada 12 Jun. – KOSMO! ONLINE