IPOH – Kerajaan Perak belum ada sebarang pendirian berhubung dakwaan kononnya sebuah sekolah menengah agama negeri (SMAN) akan dipindahkan ke tempat lain kerana lokasi sedia ada mahu dijadikan pusat komersial.
Dakwaan berkenaan membabitkan Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah (Serata) kononnya ada cubaan pihak tertentu untuk memindahkan sekolah itu ke Seri Iskandar iaitu kira-kira hampir 40 kilometer daripada lokasi asal.
Perkara itu telah mendapat bantahan yang diusahakan menerusi borang dalam talian Google Form, dan ditujukan kepada kalangan alumni sekolah berkenaan untuk menyatakan penolakan usaha tersebut.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belum sampai kepada pengetahuannya sama ada ia merupakan bantahan rasmi atau sekadar cakap-cakap.
“Saya perlu berlaku adil kepada semua pihak. Kita akan mengambil kira orang yang membuat cadangan dan juga kumpulan yang membantah.
“Setakat ini, kerajaan belum ada pendirian apa-apa lagi sehingga kita dapat duduk berbincang. Apapun kita buat mestilah untuk kepentingan pelajar-pelajar sekolah itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Exco, Jabatan dan Agensi angkat sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI 2024 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE