BEBERAPA akaun utama milik jenama besar dan selebriti di laman sosial, TikTok dilaporkan telah digodam baru-baru ini. Ia telah menimbulkan kebimbangan pengguna terhadap tahap keselamatan maya mereka di platform berkenaan.
Antara akaun TikTok yang telah digodam adalah CNN, Sony, dan Paris Hilton.
Setakat ini penggodam belum melakukan apa-apa perubahan di akaun tersebut, selain mengambil alih untuk membuka peti mesej langsung (DM) mereka.
Menurut jurucakap TikTok kepada media, perisian hasad yang digunakan penggodam membenarkan mereka mengambil alih akaun TikTok tanpa memerlukan sasaran untuk mengklik pautan secara aktif atau memuat turun sebarang perisian, sebaliknya ia diambil alih kerana pengguna membuka DM.
“Pasukan keselamatan kami menyedari potensi eksploitasi yang menyasarkan beberapa akaun jenama dan selebriti.
“Kami telah mengambil langkah untuk menghentikan serangan ini dan mengelakkannya daripada berlaku pada masa hadapan.
“Malah, kita bekerjasama secara langsung dengan pemilik akaun yang terjejas untuk memulihkan akses, jika perlu,” katanya.
Terdahulu, laporan pertama tentang akaun TikTok digodam dilakukan oleh syarikat media, CNN selepas mereka gagal mengakses akaun sehingga terpaksa beroperasi tanpanya selama beberapa hari.
Kongsi jurucakap itu lagi, pasukan keselamatan di TikTok juga dimaklumkan dengan ancaman perisian hasad terhadap akaun CNN.
Katanya, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak CNN untuk memulihkan akses serta melaksanakan langkah keselamatan yang dipertingkatkan bagi melindungi akaun itu pada masa hadapan.
Katanya lagi, pihaknya komited untuk mengekalkan integriti platform dan akan terus memantau sebarang aktiviti tidak sahih secara berterusan.
TikTok telah mendapat banyak perhatian umum tahun ini termasuk menjadi sasaran politik terutama di Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, selain dakwaan hubungannya dengan China.
Kongres di AS meluluskan undang-undang yang ditandatangani oleh Presiden Joe Biden pada April lalu yang memaksa syarikat induk TikTok, ByteDance untuk menarik sahamnya daripada aplikasi tersebut atau platform itu diharamkan sepenuhnya.
Di AS, kira-kira 33 peratus orang dewasa pernah menggunakan TikTok, sekali gus menjadikannya sebagai perkhidmatan yang sangat popular di negara itu.
Menurut penyelidikan terbaharu daripada Pusat Penyelidikan Pew di AS, jumlah pengguna aplikasi itu masih berada di belakang platform lain seperti YouTube (83 peratus), Facebook (68 peratus) dan Instagram (47 peratus).
Namun, TikTok mendahului aplikasi lain seperti LinkedIn (30 peratus), Twitter/X (22 peratus) dan Reddit (22 peratus).