KUALA NERUS – Sepasang suami isteri tidak menyangka bisul yang timbul pada kepala anak perempuannya dua tahun lalu membawa musibah besar sehingga menyebabkan kanak-kanak perempuan itu kini terlantar akibat kerosakan otak.
Engku Noor Wahidah Engku Anuar, 31, berkata, berkata, bisul itu membuatkan kepala anaknya, Putri Nur Elyna Soffiya Kairul Azahar, 4, bernanah sebelum dia mengalami sawan.
“Kami ingatkan bisul itu tidak serius sehinggalah dia mengalami sawan enam bulan kemudian.
“Pemeriksaan doktor mengesahkan kepala anak saya mengandungi cecair nanah disebabkan bisul,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggul Air Lilih di sini baru-baru ini.
Engku Noor Wahidah berkata, anaknya ketika itu berusia dua tahun terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang nanah.
Pembedahan membuang nanah itu gagal menyembuhkan Putri Nur Elyna Soffiya sebaliknya dia diserang sawan sekali lagi.
“Serangan sawan kali ini mengubah terus kehidupan anak saya daripada seorang periang kini terlantar di atas katil.
“Dia kini lumpuh dan hanya boleh minum susu khas sebagai nutrisi hariannya,” katanya.
Engku Noor Wahidah berkata, tahap kesihatan semakin merosot memaksa dia berhenti berniaga di pasar malam bagi menjaganya anaknya.
Keluarganya kini bergantung harap kepada pendapatan suaminya, Kairul Azahar Mohamad, 32, dengan bulanan RM1,200.
“Kalau ikutkan memang tidak cukup untuk membiayai kos membeli susu khas, lampin pakai buang dan ubat-ubatan.
“Lagipun dua lagi anak kami berusia 10 dan 12 tahun pula merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori autisme dan lambat pembelajaran,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyumbang di akaun milik Engku Noor Wahidah bernombor 1306 2020 0687 21 (Bank Islam) atau menghubunginya talian 011-3558 8417 dan 011-5340 1993.