fbpx

Anak dukung ibu warga emas redah api rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah yang terbakar di Bukit Bunga, Kampung Jakar dekat Tanah Merah hari ini. -Foto JBPM

TANAH MERAH – Seorang lelaki bertindak pantas dengan mendukung ibunya yang uzur sebelum meredah api dan terjun dari bahagian tingkap selepas rumah mereka di Bukit Bunga, Kampung Jakar dekat sini terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Kamariah Abdullah, 78, baru sahaja selesaikan menunaikan solat subuh dan terdengar jeritan cucunya, Norhusnina Md.Idrus, 25, yang menyuruh untuk menyelamatkan diri.

Norhusnina berkata, bapa saudaranya, Mohd. Shukran Abdul Hadi, 30, terus bertindak mengusung nenek dan menendang bahagian tingkap sebelum meredah kebakaran untuk keluar dari rumah.

“Difahamkan, kebakaran berpunca daripada litar pintas dari bilik sepupu saya, Muhammad Reezky Abdullah, 13, yang ketika itu sedang tidur.

“Muhammad Reezky melihat api menyambar tilamnya sebelum dia bergegas keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Norhusnina memberitahu, dua buah keluarga yang terdiri daripada tujuh orang termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan tinggal di dalam rumah tersebut.

Katanya, semua ahli keluarganya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat membawa keluar semua dokumen dan wang tunai sebanyak RM1,500 yang berada di dalam rumah.

“Dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Perdana milik bapa saudaranya turut terbakar dalam kejadian itu.

“Saya menganggarkan kerugian mencecah RM200,000 termasuk rumah milik nenek,”ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Ahmad Zailan Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.36 pagi tadi mengenai kebakaran sebuah rumah separuh kekal.

Katanya, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan semasa tiba di lokasi kejadian.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dan rumah itu dianggarkan terbakar hampir 90 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI