PUTRAJAYA – Biarpun penyasaran subsidi diesel baru tiga hari dilaksanakan, aktiviti penyeludupan bahan api dikesan semakin berkurangan berdasarkan pemantauan pasukan penguat kuasa di sempadan negara terutama di Kelantan dan Perlis.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pemantauan di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan dan Wang Kelian, Perlis mendapati aktiviti pembelian diesel dari negara jiran juga berkurangan.
“Jadi tidak mustahil ada tindakan penyeludupan berjaya dikekang kesan daripada penyasaran semula subsidi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi memberitahu, pada mesyuarat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya segala pelaksanaan program subsidi bersasar kepada kumpulan tertentu berjalan lancar.
Katanya, ia termasuk menyegerakan kelulusan permohonan fleet card bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membabitkan 33 kategori pengangkutan awam darat dan kenderaan pengangkutan barangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mahu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melayani permintaan pengusaha kenderaan, bas dan van pelancong yang terkesan akibat pelarasan subsidi itu. – KOSMO! ONLINE