PETALING JAYA – “Buat apa nak marah, Sharnaaz Ahmad sudah seperti abang saya.”
Demikian ditegaskan aktor, Aedy Ashraf, 30, berhubung wujud segelintir netizen yang kurang selesa dengan tindakan pelakon, Sharnaaz Ahmad kerap memberi pujian kepada Amelia Henderson dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut pemilik nama penuh Mohammad Aedy Ashraf Rosmadi berkenaan, segala pujian yang diberikan Sharnaaz itu hanyalah sekadar komen positif sesama rakan seindustri.
“Tak perlulah marah Sharnaaz, dia sudah seperti abang kepada saya dan Amelia.
“Setiap teguran dan pujian itu membina. Kami pun saling komen dalam Instagram.
“Saya hormat dia sebagai rakan pelakon dan abang,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media sesi memperkenalkan barisan pelakon utama filem Kahar Kapla High Council di sini, semalam.
Tambah Aedy, dia tidak melihat segala pujian tersebut sebagai sesuatu yang negatif dan mahu mengabaikan sahaja setiap komen atau kecaman netizen.
Malah, dia juga berpendapat Amelia sememangnya layak menerima pujian memandangkan kualiti lakonan kekasihnya itu semakin bagus.
“Saya tak nampak semua itu sebagai negatif tambahan pula Amelia adalah seorang pelakon yang hebat.
“Jadi, dia layak menerima pujian daripada mana-mana individu,” ujarnya.
Terdahulu, Sharnaaz mencuri perhatian dalam media sosial apabila memuji Amelia sebagai pelakon yang berdedikasi dan komited ketika berkerja.
Pujian tersebut sekaligus mengundang komen nakal netizen dan turut mempersoalkan sama ada Aedy akan berasa cemburu dengan hantaran tersebut.
Difahamkan, kedua-duanya digandingkan dalam sebuah filem berjudul Blood Brothers arahan Syafiq Yusof.
Selain Sharnaaz dan Amelia, filem tersebut turut dibarisi Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya. – KOSMO! ONLINE