fbpx

Adik nafi tetak abang kes berebut motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan sebilah parang gara-gara mangsa enggan meminjamkan motosikalnya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Tuah Md. Ali, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan sebilah parang terhadap abang kandung, Muhammad Redza Md. Dali berusia 34 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada pukul 8.40 malam di sebuah rumah bernombor, Kampung Melayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah pada 5 Jun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 362(A) kanun sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan, selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya membuat kerja-kerja kampung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat dipohon pihak pendakwaan. Tarikh 22 Julai depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Kosmo! pada 7 Jun lalu melaporkan seorang peniaga mengalami kecederaan parah di bahagian tangannya selepas ditetak adik kandung gara-gara enggan meminjamkan motosikalnya kepada suspek di Kampung Nelayan Kuala Linggi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa mengalami putus urat di bahagian tangan kiri sehingga menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI