SEPANG – Hafizul Hawari yang merupakan individu terlibat dalam insiden melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 tiba di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Hafizul, 38, yang berbaju putih tiba di mahkamah pukul 9.10 pagi. Hari ini merupakan sebutan kali pertama kesnya selepas didakwa pada April lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa telah melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.
Pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE