KUALA LUMPUR – Masyarakat diminta tidak lagi menganggap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang ‘kelas kedua’.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, persepsi itu sudah tiada kerana kerajaan sedang menyediakan peluang yang amat luas untuk pendidikan TVET tahap tinggi.
“Kita menyediakan laluan dari bawah sampai ke atas. Habis kursus di peringkat kolej komuniti boleh ke politeknik dan kemudian ke universiti. Dulu selepas tamat sekolah vokasional atau sekolah teknik, mereka terus cari kerja. Sekarang kita buka peluang sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
“Tidak lagi siapa masuk sekolah vokasional “second class”. Pemikiran itu sudah tidak ada. Kerajaan tidak lagi bezakan sekolah vokasional yang dulu persepsi kata kelas kedua. Kita sediakan ruang untuk setiap pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup MTUN Industry-Academia Discource on Advanced TVET (MIAD) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Terdahulu, Zambry berkata, pada majlis tersebut, Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan industri-industri utama dalam negara.
Menurut beliau, ia merupakan sejarah baharu dalam usaha mengangkat martabat pendidikan tinggi serta melaksanakan hasrat kerajaan dan negara untuk memberi ruang kepada pelajar dalam bidang teknikal.
“Hari ini adalah hari bersejarah kerana kita menandatangani dan membawa semua pihak terlibat dalam bidang TVET tahap tinggi. Industri dalam negara datang bersama dan berbincang dengan kita.
“Kita mahu memastikan keperluan tenaga kerja dalam industri dapat diselaraskan dengan pihak universiti. Kita mempunyai empat universiti teknikal dan kita ada universiti lain yang menawarkan kursus berkaitan teknikal.
“Peringkat vokasional, sekolah teknik dan sebagainya dibawah Majlis TVET Negara menyediakan program-program asas. “Advance TVET” disediakan diperingkat universiti dan politeknik,” katanya. – KOSMO! ONLINE