PUTRAJAYA – Perdana Menteri menegaskan penyasaran subsidi diesel dilakukan merupakan keputusan langkah ketiga terbesar selepas pelarasan tarif elektrik dan pengapungan harga ayam yang mampu menyelamatkan wang negara berjumlah RM10 bilion.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu boleh disalurkan untuk keperluan rakyat seperti menampung pengangkutan awam dan sebahagiannya bagi menambah suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mana skim ini mencecah RM10 bilion.
“Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) pula dinaikkan dari RM300 ke RM700, bayangkan STR untuk sembilan juta orang yang dapat terus bantuan tunai subsidi yang berjumlah RM10 bilion.
“Wang itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini (bantuan rakyat), penyasaran subsidi itu untuk pastikan subsidi tidak diberi kepada orang maha kaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE