PETALING JAYA – Disebabkan komitmen tinggi kerjaya sebagai pelakon, pelakon Haneesya Hanee sanggup melaburkan separuh gajinya semata-mata untuk penyediaan ‘wardrobe’.
Semuanya dilakukan gara-gara keinginan ibunya, Nor Sakuraneeda yang mahu melihat karakter dijayakan Haneesya atau Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 24, ‘hidup’ selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.
“Separuh gaji saya memang untuk beli baju shooting sebab mommy (ibu) mahu begitu sampai saya pernah meminta jangan membazir duit ke baju tetapi dia mahu karakter yang lebih hidup.
“Sebenarnya ini untuk kepuasan diri sendiri juga sebab adakalanya baju yang disediakan tidak kena dengan cita rasa, karakter atau visi yang kita bayangkan.
“Daripada mood saya tidak baik mengenai baju yang tak sesuai, baiklah saya terus bawa baju sendiri dan fokus kepada skrip,” katanya kepada Kosmo! Online.
Berkongsi lanjut, pelakon drama rantaian, Aku Bukan Ustazah itu turut mendedahkan pernah diperli pasukan ‘wardrobe’ kerana sering membawa baju sendiri semasa di set penggambaran.
“Ada orang ‘wardrobe’ yang mengata cakap, sampai beli baju tetapi saya diam sahaja dan bukan jenis respons sebab yang dengar perkara tersebut mommy saya.
“Saya pun tidak pernah ‘show off’ (menunjuk-nunjuk) tetapi memang duit kebanyakannya habis ke drama,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE