KUALA SELANGOR – Sebuah restoran milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam di sini, disimbah cat merah dipercayai oleh ceti haram atau along, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.53 pagi tadi itu disedari pekerja yang tinggal di asrama tingkat atas premis berkenaan.
Mohd. Shaid Rosli, 42, berkata insiden itu berlaku selepas restoran masakan panas yang baru beroperasi selama dua minggu ditutup pukul 12 tengah malam.
Katanya, beberapa pekerja yang sedang berehat di asrama bagaimanapun terdengar bunyi mencurigakan di tingkat bawah premis tersebut.
“Bagi mendapatkan kepastian, mereka kemudian turun dan terkejut melihat simbahan cat merah pada dinding, pintu utama dan gerai restoran itu.
“Selain itu, satu poster ditampal di pintu premis yang meminta supaya membayar hutang wang dipercayai oleh along,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jelas Mohd. Shaid, premis berkenaan disewa individu lain yang turut menjual makanan sebelum ini.
“Pihak along itu telah tersilap orang dan saya tidak terlibat dengan perkara berkenaan. Bagaimanapun, saya bimbang perkara lain akan berlaku kelak dan turut perlu meneruskan operasi perniagaan seperti biasa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya. – KOSMO! ONLINE