fbpx

K2

Puas melakar di kertas, kartunis Gila-Gila beralih lukis mural sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOY PJ telah menghasilkan lapan mural sekolah setakat ini.

LUKISAN kartun di dalam komik dan majalah satira pernah menjadi bahan bacaan remaja yang popular pada era 1980-an hingga awal milenium.

Majalah kartun seperti Gila-Gila, Geli Hati, Batu Api dan Ujang yang diminati ramai telah melahirkan ramai kartunis yang turut meraih populariti sebagai artis rakaman piring hitam.

Antara kartunis yang pernah merakam lagu ialah Boy PJ yang menganggotai GG Group bersama kartunis Kulat, Aloy, Cik Li dan Ramzahurin.

Boy PJ atau nama sebenarnya, Nor Azman Samsuddin popular dengan lagu Balada Cinta Romeo yang dinyanyikan secara berduet dengan Ramzahurin yang diterbitkan di dalam album Gila-Gila Hits pada tahun 1996.

Album tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan dijual melebihi 40,000 unit.

Menurut pelukis kartun Malaysia Meriah dan Pulau Jouy and The Gang itu, era menjadi pelukis kartun dan penyanyi popular adalah fasa hidup yang indah untuk dikenang, namun hidup perlu diteruskan.

“Sehingga sekarang saya ada membuat single lagu raya dan lain-lain tema sebagai projek kecil-kecilan demi minat kepada bidang seni suara.

“Kerja hakiki tetap saya kini adalah melukis karikatur di pesta buku dan lain-lain program keramaian. Kata orang demi mencari sesuap nasi,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

BOY PJ bersama salah satu mural hasil lukisannya di sebuah sekolah.

Boy PJ berkata, setelah puas bergelumang dengan dakwat hitam dan kertas lukisan, dia kini turut menerima tawaran daripada pihak sekolah untuk menghidupkan dinding bangunan insitusi pendidikan tersebut dengan lukisan mural pelbagai tema.

Katanya lagi, sekolah sepatutnya menjadi destinasi menyeronokkan untuk setiap pelajar, maka dinding sekolah perlu ceria dan sarat dengan mesej yang bermanfaat.

“Baru-baru ini saya melukis mural di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerawai Teluk Intan, Perak. Konsep lukisan mural tersebut menampilkan gambar bangunan popular, sukan, pelancongan, sejarah dan aktiviti masyarakat.

“Matlamat penghasilan mural tersebut adalah untuk memberi pendedahan meluas kepada pelajar sekolah tentang kisah sejarah, pelancongan dan aktiviti masyarakat dalam bentuk lukisan di dinding,” katanya.

MUSTAFA (depan, tengah) bersama guru-guru SK Sungai Kerawai bergambar di sisi mural.

Boy PJ memberitahu, kreativiti adalah elemen utama dalam berkarya tidak kira di atas kertas mahupun di dinding kaku.

Apa yang penting katanya, mesej yang ingin disampaikan menerusi karya yang dihasilkan.

“Lukisan mural memberi pengalaman baharu kepada saya yang selama ini hanya fokus menghasilkan karya kartun di majalah dan membuat karikatur di pusat beli-belah serta kawasan pelancongan.

“Masa yang diambil untuk menyiapkan mural adalah dalam 20 hari. Cabaran utama adalah keadaan cuaca panas sejak awal tahun ini, berhujan selain faktor kesihatan juga perlu diambil kira,” ujarnya.

Setakat ini, Boy PJ memberitahu, lapan buah mural telah dihasilkannya antaranya di SK Sungai Kerawai, Tadika Islam Islahiah Chenderong Balai, SK Sungai Lampam, SK Pekan Rabu dan Tadika Islam Taman Cicely Teluk Intan.

Tambahnya, kos untuk membuat sebuah mural adalah di antara RM1,800 hingga RM2,500 mengikut tema yang diinginkan pelanggan.

ANTARA nukilan kartunis Boy PJ bersama Gila-Gila.

Bagi memastikan mural yang dihasilkan menarik dan artistik, Boy PJ berkata, pemilihan warna adalah penting.

“Warna dan cat yang sesuai serta susunan tiap objek juga perlu diambil kira, agar hasil lukisan mural nampak cantik dan menggambarkan aspirasi sesebuah sekolah.

“Untuk SK Sungai Kerawai saya berbincang dengan Guru Besar, ‘Cikgu’ Mustafa Kamal Munei untuk menghasilkan mural yangi bersifat sejarah dan lokaliti Teluk Intan sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Cikgu Mustafa berkata, selaku pentadbir sekolah, beliau terpanggil untuk penghasilan mural berkaitan sejarah di Kampung Sungai Kerawai dan tempat-tempat menarik atau bersejarah di kawasan Teluk Intan.

Antara imej yang dilukis Boy PJ jelasnya ialah peristiwa serangan gajah pada tahun 1894 melibatkan tiga gerabak kereta api menuju ke Teluk Intan yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson dan berlaku berhampiran Kampung Sungai Kerawai.

“Selain itu, saya juga meminta saudara Boy PJ melukis Menara Condong Teluk Intan yang menjadi kebanggaan penduduk sekitar Teluk Intan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI