REMBAU – Polis kini mengesan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai lari dari asrama sekolahnya, di daerah ini sejak malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, remaja berkenaan, Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam disedari tiada di asrama sekolah oleh warden bertugas sekitar pukul 11 malam semasa memanggil nama pelajar asrama.
“Pihak sekolah dan keluarga telah usaha mengesan pelajar asrama berkenaan disekitar kawasan Rembau namun tidak berjaya ditemui sehingga kini.
“Susulan itu satu laporan polis dibuat oleh bapa mangsa yang menetap di Jempol berusia 29 tahun petang semalam berhubung kehilangan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik lagi, kali terakhir pelajar asrama hilang berkenaan dilihat memakai pakaian baju melayu berwarna hijau tua, seluar tracksuit hitam semasa berada di bilik prep asrama kira-kira pukul 10 malam.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mariana Che Rahim ditalian 06-6852222.