fbpx

Penat, lelah tiga tahun naik turun mahkamah – Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran kes rayuan keputusan lepas dan bebas terhadap penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang dibuat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini, tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan terlebih dahulu menghantar hujahan bertulis secara serentak pada 15 Julai ini sebelum mengemukakan hujahan balas pada 29 Julai sekiranya perlu.

“Justeru, Yasin (sebagai responden) hanya perlu hadir pada 22 Ogos sahaja. Ini melibatkan ketiga-tiga kes (dalam rayuan pihak pendakwaan).

“Pada hari tersebut (pendengaran) juga sekiranya ada perkara yang ingin dikemukakan, boleh nyatakan. Sekiranya hakim bersedia untuk memberikan keputusan, akan beri pada tarikh tersebut atau memberikan tarikh baharu,” katanya hari ini.

Pada prosiding tersebut, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, diwakili peguam Ariff Azami Hussein, manakala pendakwaan sebagai perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim.

Sementara itu, Yasin yang ditemui di lobi mahkamah berharap ini adalah kali terakhir dia menjalani sebarang prosiding di mahkamah selepas tiga tahun mengharunginya.

“Sekurang-kurangnya empat orang hakim, tiga pendakwa raya, tiga mahkamah iaitu majistret, sesyen dan tinggi serta dimasukkan di tiga hospital untuk rawatan bipolar. Memang sudah penat, letih dan lelah, tetapi apakan daya, terpaksa hadapi juga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ariff Azami menegaskan, prosiding yang berlaku ketika ini adalah hak digunakan pihak pendakwaan dalam proses undang-undang.

“Tetapi, kita tetap yakin dan percaya, keputusan yang dicapai oleh mahkamah bicara dengan kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan proses (keputusan) tersebut. Kita menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk memutuskan yang terbaik sesuai dengan fakta dan keterangan diperolehi,” katanya.

Sebelum ini, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 29 November tahun lalu melaporkan, Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan, namun diarahkan oleh Mahkamah Sesyen agar penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI