fbpx

Mou G2G terjemah hubungan akrab, saling mempercayai Malaysia, Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (kiri) dan bersama Presiden SSB, Prof. Dr. Haluk Görgün pada mesyuarat antara kerajaan Malaysia dan Turki di Ibu Pejabat Secretariat of Defence Industries Ankara. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

ANKARA, Turkiye – Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai kerajaan Malaysia dan Turkiye mengenai perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan disifatkan menjadi bukti hubungan saling mempercayai antara kedua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU G2G itu juga dilihat penting memandangkan tidak pernah dimeterai oleh Malaysia dengan negara-negara lain sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu sekali gus mencerminkan hubungan rapat selain berasaskan kepercayaan, hormat-menghormati dan keinginan membantu antara kedua-dua negara.

“Jika elemen itu tidak ada, mungkin kita tidak akan berakhir dengan kerjasama seperti ini. Ia juga menggambarkan pengiktirafan Malaysia terhadap kejayaan Turkiye dalam aspek pertahanan.

“Kejayaan dan keupayaan Turkiye merupakan satu kelebihan kerana ia membolehkan Malaysia mempunyai pilihan dan tidak hanya tertakhluk kepada negara tertentu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Secretariat of Defence Industries (SSB) di sini semalam.

Susulan itu, katanya, MoU G2G yang dilihat sebagai detik bersejarah kepada Malaysia bakal dianggap sebagai asas dalam menjayakan sektor pertahanan tempatan.

“Jadi, menerusi MoU itu, kedua-dua negara juga berhasrat memastikan keutamaan diberikan kepada soal perolehan kepada kedua-dua negara.

“Dalam konteks ini, oleh kerana Turkiye menjadi pengeluar, maka republik itu yang akan mendapat kelebihan dalam kita melakukan proses perolehan,” jelasnya.

Dalam pada itu, MoU G2G berkenaan juga berperanan memastikan pembangunan kemajuan industri pertahanan kedua-dua negara dan bukannya hanya memberi fokus soal perolehan sahaja.

“Kalau Turkiye dapat soal perolehan, maka kita dapat soal pembangunan industri pertahanan tempatan. Inilah signifikan MoU ini.

“Ia hanya boleh berjaya sekiranya kedua-dua negara memberi komitmen serta ada nilai kerjasama baik berasaskan kepada kepercayaan dan keyakinan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga bakal menikmati manfaat seperti tidak melibatkan unsur orang tengah berhubung soal perolehan menerusi penjanjian G2G terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI